12 November 2014 2:37 AM
KUALA LUMPUR 11 Nov. – Kerajaan diminta supaya turut mendapatkan pandangan daripada ahli-ahli parti politik pembangkang sebelum menerima Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang kini dalam usaha untuk dimuktamadkan.
Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin berkata, pandangan tentang penerimaan terhadap TPPA itu perlu supaya isi kandungan dan kesan jangka panjang perjanjian tersebut dapat diperhalusi lebih awal sebelum ia dipersetujui kelak.
“Kita ada masa lagi untuk kaji tentang TPPA. Ramai lagi orang yang mungkin belum tahu atau kurang faham. Sebab itu, perkara itu masih boleh dibincangkan lagi tentang kesan positif atau negatif daripada pelaksanaannya nanti.
“Mungkin kita juga boleh dapatkan pandangan daripada ahli-ahli politik dari parti pembangkang. Setuju atau tidak itu perkara kedua,” katanya selepas melancarkan buku bertajuk The Colour of Inequality tulisan Dr. Muhammed Abdul Khalid, di sini hari ini.
Daim Zainuddin (dua dari kanan) bersama Dr. Muhammad Abdul Khalid (dua dari kiri) memegang buku bertajuk The Colour Of Inequality sambil diperhatikan Abdul Kadir Jasin (kanan) dan Kamil Salih (kiri) di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD. NAJIB MOHD. NOR
Buku terbitan dan edaran syarikat MPH Publishing itu yang telah berada di pasaran sejak dua bulan lalu dan dijual dengan harga RM40 itu antara lain memaparkan kajian tentang pendapatan isi rumah rakyat negara ini.
Yang hadir sama pada majlis itu ialah Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar; bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP Berhad, Datuk Abdul Kadir Jasin; Penganalisis ekonomi, Tan Sri Profesor Dr. Kamil Salih (kiri) dan penulis buku itu, Dr. Muhammed Abdul Khalid.
Semalam di Beijing 12 ketua kerajaan antaranya Jepun, Singapura, Mexico dan Amerika Syarikat yang menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) berpuas hati dengan perkembangan memberangsangkan sejak beberapa bulan ini mengenai usaha memuktamadkan perjanjian tersebut.
Sementara itu, pada masa sama beliau turut mengulas tentang prestasi Penyata Kewangan dan Pengurusan Kewangan Tahun 2013 serta Aktiviti Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun dan Kerajaan-Kerajaan Negeri yang dibentangkan di Parlimen semalam.
Menurut Daim, sungguhpun prestasi lebih baik berbanding dua tahun sebelumnya dengan 194 kementerian mendapat penarafan sangat baik iaitu empat bintang berbanding 143 pada 2012 tetapi disiplin kakitangan kerajaan harus juga diberi perhatian.
“Kerajaan atau setiap kementerian harus tegas dengan kakitangan masing-masing. Kalau ada sampai tahap masalah disiplin yang kritikal tindakan buang kerja mungkin boleh diambil bagi memastikan pencapaian itu terus meningkat,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment