| 02 Disember 2015 6:30 PM
BARU-BARU ini, kerajaan mengumumkan penghapusan program subsidi beras yang bermakna beras jenis ST15 akan dijual pada harga pasaran, dan tidak lagi pada harga subsidi. Beras ST15 adalah beras tempatan yang mempunyai kandungan 15 peratus beras hancur yang kualitinya sedikit rendah berbanding beras tempatan biasa ST15.
Ini bermakna tiada lagi subsidi sebanyak RM7.50 untuk sekampit beras jenis ST15. Adakah penghapusan program ini wajar, atau akan membebankan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah?
Program ini bermula pada 2008, apabila harga padi pada masa itu telah naik tiga kali ganda kepada lebih AS$1,000 satu tan, berbanding hanya AS$335 tahun sebelumnya. Kerajaan memperkenalkan program ini bertujuan memastikan golongan berpendapatan rendah dapat membeli beras pada harga rendah.
Kos program subsidi ini bukannya sedikit. Pada tahun lepas, kerajaan memperuntukkan lebih kurang RM530 juta untuk program ini yang disalurkan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Sejak 2008 hingga tahun lepas, sebanyak RM3.4 bilion telah pun dibelanjakan.
Mengapa program ini diberhentikan? Hujah yang diberikan adalah kerana ketirisan dan pelaksanaan yang lemah apabila mereka yang membeli beras murah ini bukannya golongan miskin, tetapi pekerja asing, pekedai ataupun pemborong, dan juga pemilik-pemilik restoran.
Persoalannya, patutkah program subsidi beras ini dihentikan? Apakah kesan penghapusan program ini terhadap golongan miskin? Soalan pertama, patutkah ia dihentikan?
Jawapannya adalah ya. Jika kita lihat harga padi sekarang, lebih kurang AS$370/tan. Jika sebab utama kita perkenalkan subsidi beras adalah harga antarabangsa yang tinggi, namun hujah itu tidak lagi relevan. Harga padi pada masa sekarang tidak banyak bezanya dengan harga padi sebelum program subsidi ini dilancarkan. Maka, memang patutlah ia dihentikan.
Soalan kedua, apakah kesannya penghapusan subsidi ini terhadap orang miskin?
Jawapannya jelas, sudah tentu pengurangan subsidi beras akan meningkatkan kos sara hidup mereka, apatah lagi beras adalah makanan ruji rakyat negara ini. Ia tentu membebankan mereka, apatah lagi dalam keadaan kos hidup yang semakin meningkat, pada masa sama, subsidi tepung juga dihapuskan.
Apakah terdapat cara atau kaedah lain untuk meringankan beban akibat pemansuhan subsidi ini?
Terdapat dua cara; pertama, meneruskan program ini, tetapi dengan penambahbaikan sistem penyampaiannya, atau kedua, menghapuskan subsidi ini, dan menggantikannya dengan cash transfer ala Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Cadangan pertama adalah menyeluruh tetapi memakan masa kerana memerlukan penambahbaikan dan pemantauan sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP). Ini bermaksud Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani haruslah mengkaji kembali penerima dan kuota yang diberikan kepada pemborong dan pengilang untuk membekalkan beras ST15 ini.
Peniaga dan penjual haruslah juga dipantau, dan mereka ini sebaik-baiknya dilantik terus oleh kementerian, dan bukannya oleh pengilang ataupun pengedar. Pemantauan berterusan penting supaya tiada penipuan terutamanya kes mencampur beras murah ST15 dengan beras yang lain, dan menjualnya pada harga tinggi. Isu penyeludupan beras haruslah juga dihapuskan.
Cadangan kedua lebih mudah. Subsidi beras dihapuskan tetapi untuk mengurangkan beban rakyat miskin yang terpaksa membeli pada harga tinggi, subsidi bulanan diberikan terus kepada golongan miskin, dalam bentuk wang tunai ataupun kupon beras. Tidak perlu lagi memberi kuota, memantau pengilang, pemborong ataupun peniaga. Ini bukan sahaja dapat mengurangkan kegiatan penyeludupan beras, kosnya jua jauh lebih rendah.
Jika setiap keluarga dalam golongan 20 terbawah (B20) iaitu seramai 1.3 juta keluarga diberikan wang tunai atau kupon bersamaan nilai dua kampit subsidi beras (RM15) setiap bulan, kos tahunan adalah RM240 juta - iaitu penjimatan sebanyak RM290 juta, atau hampir 120 peratus! Ini lebih berkesan kerana golongan sasaran akan terus mendapat bantuan ini malah kosnya juga lebih rendah. Mereka juga dapat membeli beras yang lebih berkualiti.
Ini adalah cadangan sementara. Tetapi ia penting dilakukan segera supaya rakyat terutamanya golongan miskin masih mampu membeli beras. Dalam pada itu, strategi jangka panjang juga perlu untuk memastikan pendapatan dan taraf hidup rakyat dapat ditingkatkan supaya mereka tidak lagi bergantung kepada subsidi atau bantuan kerajaan.
DR. MUHAMMED ABDUL KHALID ialah Penyelidik Khazanah Nasional.
link http://www.utusan.com.my/rencana/bagaimana-kita-tanpa-subsidi-beras-1.164602