Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin berkata, panda­ngan tentang penerimaan terhadap TPPA itu perlu supaya isi kandungan dan kesan jangka panjang perjanjian tersebut dapat diperhalusi lebih awal sebelum ia dipersetujui kelak.

“Kita ada masa lagi untuk kaji tentang TPPA. Ramai lagi orang yang mungkin belum tahu atau kurang faham. Sebab itu, perkara itu masih boleh dibincangkan lagi tentang kesan positif atau negatif daripada pelaksanaannya nanti.

“Mungkin kita juga boleh dapatkan pandangan daripada ahli-ahli politik dari parti pembangkang. Setuju atau tidak itu perkara kedua,” katanya selepas melancarkan buku bertajuk The Colour of Inequality tulisan Dr. Muhammed Abdul Khalid, di sini hari ini.